Tiga individu ditahan, memiliki senjata api dan amunisi

Gambar Fail

JASIN, 5 Januari– Dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 54 hingga 22 tahun ditahan polis Melaka pada Ahad (4 Januari) kerana memiliki senjata api dan amunisi tanpa lesen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga warga tempatan berusia 22 hingga 54 tahun ditahan di Melaka berkaitan pemilikan senjata api tanpa lesen.
  • Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada jam 5.30 petang.
  • Barang rampasan termasuk senapang patah, tali pinggang peluru, 40 kelongsong peluru 12 bore dan satu sarung senjata.
  • Dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah; semua ditahan bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan direman tiga hari.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert dalam kenyataan berkata kesemua mereka ditahan selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin menyerbu sebuah rumah pada pukul 5.30 petang.

Pihaknya merampas senjata api dan amunisi yang diletakkan di atas meja di bawah garaj rumah terbabit.

“Antara yang dirampas ialah senapang patah, tali pinggang peluru, 40 butir kelongsong peluru jenis 12 bore warna putih, merah, hijau dan coklat serta satu sarung senjata api,” kata kenyataan itu.

Hasil semakan turut mendapati suspek lelaki masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Ketiga-tiga suspek ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan direman selama tiga hari bermula hari ini.