JDT terus dominasi kemenangan, tewaskan Kuching City FC 2-1

Foto Facebook Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 15 Januari – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan dominasi kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Kuching City FC, 2-1, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT bangkit dari ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim.
  • Kuching City buka jaringan melalui Scott Woods pada minit ke-40 sebelum kad merah Natxo Insa minit ke-55.
  • Penggantian JDT memberikan impak besar; Nacho Mendez menyamakan, Bergson Da Silva menjaringkan gol kemenangan.
  • Jurulatih Xisco puji sumbangan pemain simpanan; Aidil Sharin puji semangat dan komitmen pasukannya.

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT bangkit daripada ketinggalan, walaupun beraksi dengan kekurangan pemain. Jaringan awal tuan rumah menerusi Berson Da Silva pada minit ke-8, dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan berlaku kekasaran.

Menjelang penghujung babak pertama, Kuching City FC mengejutkan tuan dengan gol pembukaan, dijelmakan Scott Woods pada minit ke-40. JDT terus bergelut kesukaran apabila kapten pasukan, Natxo Insa dilayangkan kad merah selepas menanduk Scott Woods, pada minit ke-55.

Harimau Selatan bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan Nacho Mendez, minit ke-57 sebelum Bergson Da Silva muncul wira dengan gol kemenangan, minit ke-64.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, memuji sumbangan pemain simpanan yang berjaya mencetuskan momentum serangan sekali gus menghasilkan jaringan penting.

“Kami menukar pemain dan mereka memberikan sumbangan tambahan yang bagus kepada pasukan. Kami mempunyai skuad yang baik, dan apabila mereka berada di padang, mereka menampilkan tahap prestasi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Ishak, menegaskan anak buahnya tetap menunjukkan prestasi cemerlang, memaksa tuan rumah berhempas pulas sepanjang perlawanan.

“Secara keseluruhan kami masih memberikan saingan yang baik. Saya memuji anak buah saya atas komitmen mereka. Saya berpuas hati melihat jurang jaringan yang tidak terlalu besar, dan kami perlu terus melangkah ke hadapa,” katanya.