
KUALA NERUS, 9 Ogos – Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) bukan sekadar medan persaingan dalam kalangan warga pendidikan tinggi, malah platform memperkukuh hubungan, kebersamaan dan semangat kerja berpasukan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Universiti Awam.
- Sukan membentuk disiplin, kepimpinan, keupayaan membuat keputusan serta meningkatkan kesejahteraan dan ketahanan mental.
- SUKUM memberi ruang untuk warga KPT dan Universiti Awam berinteraksi, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim di luar kerja.
- Nilai sukan boleh diterapkan dalam tugasan harian untuk memperkukuh kerja berpasukan dan sokongan antara rakan sekerja.
- SUKUM Ke-46 menghimpunkan 20 kontinjen dan 3,443 peserta, memeriahkan temasya sukan staf universiti.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts.Dr. Aminuddin Hassim berkata penglibatan dalam sukan mampu membentuk nilai disiplin, kepimpinan dan keupayaan membuat keputusan, selain meningkatkan kesejahteraan diri serta ketahanan mental.
Menurutnya, SUKUM memberi ruang kepada warga KPT dan Universiti Awam untuk berinteraksi, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim di luar suasana kerja.
“Nilai yang kita pelajari melalui sukan seperti disiplin, kepimpinan dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan tekanan boleh diterapkan dalam tugas seharian.
“Pendekatan ini penting untuk membentuk warga pendidikan tinggi yang mampu bekerja sebagai satu pasukan dan saling menyokong,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, malam tadi (Sabtu).
SUKUM kali Ke-46 menghimpunkan 20 kontinjen Universiti Awam dengan penyertaan 3,443 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai.
Sebanyak 19 jenis sukan dipertandingkan pada temasya kali ini dengan keseluruhan 424 pingat menjadi rebutan.
Turut hadir, Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam yang mewakili tuan rumah bagi penganjuran SUKUM Ke-46.