
TUMPAT, 9 Ogos – Seorang lelaki ditahan selepas polis menemukan sebotol cecair kehijauan disyaki air ketum di Simpang Tiga Jalan Pulau Ular, Pengkalan Kubor, semalam.
- Seorang lelaki didapati membawa sebotol cecair kehijauan disyaki air ketum, anggaran 500 mililiter.
- Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
- Pihak polis merampas telefon bimbit dan menyita kenderaan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM71,515.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan selepas anggota PGA mengesan kenderaan dipandunya dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barang salah, namun pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan membawa kepada penemuan sebotol berisi cecair kehijauan disyaki air ketum, anggaran 500 mililiter.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta menyita kenderaan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM71,515.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan awal mendapati suspek yang tinggal di Selangor datang ke Kelantan untuk menemui ibu saudaranya di Kampung Banggol, Pengkalan Chepa.
“Suspek juga memaklumkan kenderaan digunakan adalah kereta sewa dan bukan miliknya,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, suspek sebelum ini bekerja sebagai penghantar makanan, namun tidak bekerja sejak dua bulan lalu.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.