
NABAWAN, 8 Ogos – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau orang tengah untuk menguruskan sebarang urusan berkaitan perkhidmatan dan dokumentasi jabatan itu.
- Berurusan terus dengan JPN; jangan guna ejen atau orang tengah yang mendakwa mewakili jabatan.
- JPN mempunyai pejabat di seluruh negara dan setiap daerah untuk memudahkan perkhidmatan rasmi.
- Dapatkan maklumat melalui saluran rasmi JPN bagi mengelakkan penipuan dan pihak tidak bertanggungjawab.
- MEKAR memudahkan dokumentasi; ibu bapa perlu mendaftar kelahiran dalam tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Doktor Shamsul Anuar Nasarah, berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berurusan secara terus dengan JPN dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang mendakwa sebagai ejen atau wakil jabatan berkenaan.
“Kita sedar bahawa dokumen pengenalan diri warganegara Malaysia merupakan dokumen yang sangat penting dan sah, selain menjadi antara bentuk pengiktirafan tertinggi yang diberikan kerajaan.
“Sehubungan itu, bagi menjaga keabsahan dan kredibiliti dokumen berkenaan, JPN tidak memberi kuasa kepada mana-mana pihak untuk mewakili jabatan dalam urusan tersebut.
“Ini kerana JPN mempunyai pejabat di seluruh negara dan setiap daerah bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti di sini.
Dalam pada itu, masyarakat juga perlu sentiasa mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi JPN bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau pihak tidak bertanggungjawab.
Setakat 31 Julai lalu, sebanyak 143 MEKAR telah dilaksanakan JPN dalam usaha memperluaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berbanding 2025 hanya 107 program meningkat kepada 36 program.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada kumpulan yang memerlukan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman serta mereka yang menghadapi kekangan untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter.
MEKAR turut diperluaskan kepada warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara, bagi memudahkan mereka mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan urusan dokumentasi JPN.
Pada masa sama ibu bapa agar tidak melengahkan pendaftaran kelahiran anak dan memastikan urusan berkenaan dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya pendaftaran lewat.
Pendaftaran kelahiran amat penting bagi memastikan setiap individu mempunyai rekod dan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus memudahkan pelbagai urusan pada masa hadapan.
Sempena Program MEKAR di Nabawan, sebanyak 139 kes berjaya diselesaikan, sekali gus memudahkan urusan dokumentasi penduduk setempat dengan JPN.