Hampir RM94,000 disalur kepada 49 nelayan Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyaksikan pemberian bantuan kepada nelayan terlibat / BERNAMA

PORT DICKSON, 12 Januari -Sebanyak RM93,600 disalurkan kepada 49 nelayan di Negeri Sembilan menerusi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan diagihkan kepada nelayan yang terjejas akibat ribut Senyar dan insiden lain di Negeri Sembilan.
  • 32 nelayan terlibat secara langsung dalam kejadian ribut Senyar pada November tahun lalu.
  • Penerima termasuk ahli Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang dan Port Dickson.
  • Kerajaan negeri dan LKIM komited meringankan beban nelayan melalui bantuan kebajikan.

Daripada jumlah itu, 32 nelayan terlibat secara langsung dalam kejadian ribut Senyar yang melanda pada November tahun lalu.

Baki penerima pula membabitkan kes kematian, kerosakan rumah, peralatan penangkapan ikan, vesel, serta kemalangan di darat dan laut.

Kesemua penerima terdiri daripada nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang dan Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan itu disalur bagi meringankan beban nelayan yang terjejas.

“Alhamdulillah, hari ini LKIM menyalurkan bantuan hampir RM100,000 kepada nelayan di Port Dickson bagi mengurangkan beban mereka.

Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penyerahan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM di sini.

Turut hadir, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.