
BRISBANE, 11 Januari – Daniil Medvedev memulakan musim 2026 dengan bergaya apabila menjuarai kejohanan Antarabangsa Brisbane selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Brandon Nakashima, 6-2, 7-6(1) pada perlawanan akhir, hari ini.
- Medvedev memenangi gelaran Antarabangsa Brisbane, menambah gelaran ATP ke-22 dalam kariernya.
- Beliau dedikasikan kemenangan kepada pasukan kejurulatihan dan keluarganya, selepas terlepas sambutan ulang tahun anak.
- Bangkit menguasai tie-break selepas terlepas dua mata kejuaraan, beralih fokus ke Terbuka Australia di Melbourne Park.
Kemenangan itu merupakan gelaran ATP ke-22 buat Medvedev di 22 kejohanan berbeza serta kejayaan pertamanya sejak menamatkan penantian hampir dua setengah tahun dengan menjuarai Terbuka Almaty pada Oktober lalu.
Juara Terbuka AS 2021 itu mendedikasikan kejayaan berkenaan kepada pasukan kejurulatihan dan keluarganya, selepas terpaksa melepaskan sambutan ulang tahun pertama anak perempuannya demi menyertai kejohanan tersebut.
Ia adalah penampilan kedua Medvedev di Brisbane selepas muncul naib juara pada 2019, selain menjadi gelaran pembuka musim pertamanya sejak memenangi kejohanan Sydney pada 2018.
Pada perlawanan akhir, pemain berusia 29 tahun itu mempamerkan aksi mantap dari garisan belakang gelanggang dan memenangi set pertama dengan beberapa ace padu, meskipun sempat memberi ruang kepada lawan susulan kesilapan servis.
Medvedev berdepan cabaran lebih sengit pada set kedua apabila terlepas dua mata kejuaraan ketika mendahului 5-4, namun bangkit menguasai tie-break untuk memastikan kemenangan.
Pemain Rusia itu yang pernah mara sebanyak tiga kali ke final Terbuka Australia, kini mengalihkan fokus ke Melbourne Park dengan kejohanan Grand Slam tersebut dijadual bermula pada 18 Januari ini. -REUTERS