Marcus Rashford lengkap ujian perubatan sebelum sertai Barcelona secara pinjaman

MANCHESTER, 22 Julai – Penyerang England, Marcus Rashford dilaporkan telah melengkapkan ujian perubatan menjelang perpindahannya ke kelab gergasi Sepanyol, Barcelona secara pinjaman daripada Manchester United.

Menurut laporan media pada Isnin, pemain berusia 27 tahun itu dilihat tiba di Sepanyol pada Ahad, namun butiran rasmi mengenai perjanjian pinjaman tersebut masih belum diumumkan.

Rashford yang memulakan kariernya di akademi Manchester United, telah membuat lebih 400 penampilan bersama skuad utama kelab itu.

Namun, kedudukannya semakin terpinggir sejak kehadiran pengurus baharu, Ruben Amorim.

Pada separuh kedua musim lalu, Rashford dipinjamkan ke Aston Villa yang menyaksikan beliau berjaya menemui semula prestasi terbaiknya.

Persembahan cemerlang itu turut membuka pintu buatnya untuk kembali menyarung jersi England di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Thomas Tuchel, selepas sebelum ini disisihkan daripada skuad Euro 2024.

Perpindahan ke Barcelona dijangka memberi peluang baharu buat Rashford menghidupkan semula kariernya di pentas Eropah sambil memperkuatkan barisan serangan kelab Catalan tersebut. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.