fb fb fb fb fb

Valentino Rossi sah sertai WEC musim depan bersama pasukan WRT Belgium

Valentino Rossi

PARIS, 28 November- Legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi, yang telah bertukar daripada dua roda kepada empat roda, akan bersaing dalam FIA World Endurance Championship (WEC) musim depan, menurut senarai peserta yang diterbitkan pada Isnin.

Juara dunia MotoGP tujuh kali itu, akan berlumba dengan pasukan WRT Belgium, memandu satu daripada 18 kereta yang dimasukkan dalam kelas LMGT3, yang menggantikan kategori LMGTE Am.

Rossi, 44, dijangka mengambil bahagian dalam lagenda 24 Hours of Le Mans endurance klasik pada 15-16 Jun, setelah memenangi perlumbaan sokongan di litar ikonik Sarthe di barat Perancis tahun ini untuk pasukan WRT.

WRT Belgium, yang diasaskan bersama oleh bekas pemandu lumba Vincent Vosse, akan menyertai kelas Hypercar pada 2024 dengan dua jentera BMW M Hybrid V8 dan dalam LMGT3 dengan M4 GT3 kedua.

“Saya sudah biasa dengan kereta itu selepas musim ini, tetapi format dengan tiga pemandu daripada tiga kategori berbeza akan menjadi baharu buat saya,” kata Rossi.

Identiti dua rakan sepasukannya untuk 2024 masih belum diketahui.

Sementara itu, Robert Kubica dari Poland berada dalam senarai peserta dalam kelas Hypercar utama.

Bekas pemandu Formula 1 itu, yang dinobatkan sebagai juara endurance dunia 2023 dalam kategori bawah LMP2, akan mengemudi Ferrari peribadi.

Sementara itu pemandu Jerman Mick Schumacher, anak kepada bekas legenda F1 Michael Schumacher, akan membuat penampilan sulung aksi endurance dalam kategori utamanya bersama Alpine.

Secara keseluruhan, 14 pengeluar akan menyertai kejohanan itu termasuk sembilan dalam Hypercar sekali gus rekod baharu dalam sejarah WEC.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE