fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Terengganu sertai 36 acara kecuali bola keranjang

Terengganu sertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos tahun hadapan

KUALA NERUS, 6 Disember - Terengganu akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata kontinjen SUKMA Terengganu akan menyertai semua jenis sukan yang dipertandingkan kecuali bola keranjang atas sebab tertentu.

"Walaupun sebanyak 36 jenis sukan yang akan kita sertai tetapi saya ingatkan ianya tidak akan menjamin setiap acara kita akan hantar atlet kita untuk sertai sukan tersebut.

"Kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita sendiri, yang mana sukan yang melepasi KPI, kita akan hantar atlet terbabit. Jika ada sukan atau acara tidak mencapai KPI yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh lembaga MSN maka kita tidak akan hantar ke Sarawak," katanya pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu SUKMA XXl Sarawak 2024, di sini hari ini.

Katanya kontinjen itu akan menyertai 28 sukan wajib dan sembilan acara sukan pilihan iaitu catur, e-sport, kabaddi, kriket, muaythai, pentanque, silambam, sofbol dan tinju.

Tambahnya, 35 peratus daripada 700 atlet berkenaan pernah bertanding pada SUKMA 2022 manakala selebihnya diisi oleh muka-muka baharu.

"Kira-kira 700 atlet kini menjalani latihan fasa dua yang memberi tumpuan kepada penyertaan atlet di seberapa banyak pertandingan atau kejohanan.

"Tempoh 255 hari menjelang SUKMA adalah masa terbaik untuk memperkemas dan melaksanakan secara serius strategi-strategi yang telah digariskan.

"Harapan yang diletakkan kepada kontinjen adalah merampas kembali kejuaraan SUKMA tahun depan," katanya.

Pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Terengganu selaku Naib Juara keseluruhan mengutip 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa.

GRACE AISYAH KEDAYAN