KUCHING, 22 Ogos - Pahang meraih pingat gangsa menerusi saingan bola sepak wanita selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 di Stadium Negeri, pada Rabu.
Dalam aksi tersebut kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan Pahang berupaya mendapatkan gol awal menerusi Kaseh Carlmila Az Zahra Mohd Ridhuwan pada minit ke-42.
Memasuki babak kedua perlawanan Wilayah Persekutuan kembali menyusun perlawanan untuk menyamakan kedudukan menerusi Nur Sharmila Zulkifli yang mudah menewaskan pertahanan lawan untuk jaringan pada minit ke-50.
Bagaimanapun Pahang kembali menjarakkan kedudukan menerusi jaringan kedua hasil tandukan kemas K.Thurgasini pada minit ke-57 sebelum Kaseh Carlmila melengkapkan gol ketiga pasukan.
Perlawanan penentuan pingat emas antara Selangor dan Sabah dijadual berlangsung malam ini di Stadium Negeri, Kuching.