fb fb fb fb fb

Selangor kalahkan Kedah 1-0, tempah slot ke Piala AFC

FOTO MFL

ALOR SETAR, 2 Disember- Selangor FC mengesahkan kedudukannya selaku Naib Juara liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman, (KDA) FC dalam aksi Bolasepak Liga Super di Stadium Darul Aman, sini, malam tadi.

Lebih manis, kemenangan tersebut membolehkan Selangor FC ke saingan AFC Champion League 2, musim depan.

Beraksi dihadapan lebih 20,000 ribu penyokong setia Hijau Kuning, KDA FC turun dengan misi besar meraih tiga mata penuh di laman sendiri, sekali gus merampas kedudukan kedua liga daripada Selangor FC.

Usaha mereka pada babak pertama perlawanan tampak seakan memberi petanda positif tuan rumah mampu mencipta kemenangan.

Beberapa peluang terhidang bagaimanapun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Begitu juga Selangor FC gagal menembusi pintu gol KDA FC yang dikawal Kalamullah Al Hafiz menyaksikan babak pertama tamat tanpa sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mempertingkatkan intensiti permainan.

Namun, Selangor lebih bernasib baik apabila Ayron Del Valle bijak memperdaya pertahanan Sang Kenari dengan menyepak masuk gol pertama Selangor pada minit ke-64.

Tersentak dengan jaringan itu, KDA FC cuba bangkit dengan membuat beberapa pertukaran pemain.

Usaha tersebut tidak berhasil menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Berbaki satu lagi perlawanan, KDA FC akan bertemu Sabah FC di Stadium Likas Kota Kinabalu selepas ini dan keputusan perlawanan tersebut akan menentukan pasukan yang akan menghuni tempat ketiga liga super musim 2023.

SITI AISHAH BINTI MD ISA