fb fb fb fb fb

Pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 meriah, walau berdepan cabaran COVID-19


FOTO REUTERS 

BEIJING, 5 Februari- Upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 bermula malam tadi dengan simbolik percikan bunga api di Stadium Sarang Burung yang ikonik pada sebelah malam Jumaat.

Majlis pembukaan penuh warna itu menandakan permulaan temasya sukan berkenaan sebagai kemuncak kepada persediaan yang terganggu susulan COVID-19 dan kritikan terhadap hak asasi manusia di China yang menyebabkan beberapa negara melakukan boikot diplomatik.

Upacara itu bermula selepas Presiden Xi Jinping dan Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach memasuki stadium dihiasi dengan bendera 91 negara yang mengambil bahagian.

Diarahkan oleh Zhang Yimou yang turut sama terbabit pada Sukan Olimpik Musim Panas 2008, upacara pembukaan itu menampilkan 3,000 penghibur di atas pentas dengan skrin lampu diod pemancar cahaya (LED) berdefinisi tinggi berupa permukaan ais.

Semua penghibur terbabit adalah orang kebanyakan dari Beijing serta dari wilayah Hebei yang mengangkat ' Story of a Snowflake' sebagai tema persembahan.

Tempat duduk di stadium kosong tanpa kehadiran penonton pada upacara terbabit selepas penganjur memutuskan untuk tidak menjual tiket bagi menangani penyebaran COVID-19.

Meskipun upacara pembukaan ini lebih kecil berbanding Sukan Olimpik musim panas namun ia dianjurkan dalam keadaan yang lebih makmur, hebat dan berkeyakinan di bawah pimpinan Xi.

Pemilihan China sebagai tuan rumah temasya mendapat kritikan sejak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa memilih Beijing pada 2015, dan negara-negara termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Australia mengadakan boikot diplomatik, yang menyaksikan mereka tidak menghantar wakil kerajaan ke temasya itu.

Presiden Russia, Vladimir Putin yang mengetuai delegasi asing tiba hari ini untuk mengadakan mesyuarat bersama Xi sebelum upacara pembukaan terbabit.

Zhang berkata upacara pembukaan itu mengambil kira faktor perubahan latar belakang global termasuk pandemik serta usaha yang disifatkan Zhang sebagai cuba 'menekan dan memburukkan' China.

"Dalam situasi global yang baharu dan lebih kompleks, Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 akan menunjukkan keyakinan dan kebanggaan, cinta dan juga kasih sayang rakyat China kepada dunia," kata Zhang kepada Xinhua. -REUTERS

Media Baharu