fb fb fb fb fb

Malaysia raih tempat ketiga Kejohanan Tarian Singa Antarabangsa

Foto BERNAMA

GENTING HIGHLANDS , 28 Julai - Malaysia dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pada Kejohanan Tarian Singa Antarabangsa Genting edisi ke-15 di Arena of Stars, di sini semalam.

Kejohanan itu menyaksikan sembilan pasukan daripada enam buah negara dan wilayah termasuk Malaysia, Singapura, Jepun, Myanmar, China dan Taiwan berentap di pusingan akhir bagi mendapat gelaran juara.

Malaysia menerusi penyertaan sulung Persatuan Tarian Naga dan Singa Alumni Sekolah Tinggi Katolik Petaling Jaya, berjaya meraih 9.59 mata, meletakkan mereka di tempat ketiga kejohanan, sekali gus membawa pulang wang tunai US$6,000, trofi, serta pingat yang disampaikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Penari tarian singa persatuan berkenaan Michael Oh Head berkata walaupun berasa sedikit tertekan kerana membawa nama Malaysia, mereka tetap memberikan persembahan yang terbaik.

“Kami akan terus berlatih sehingga dapat mencapai keputusan serta persembahan yang lebih baik. Kami juga berharap diberi lebih banyak peluang untuk mewakili Malaysia dan membawa pulang trofi serta mengharumkan nama negara,” katanya kepada Bernama selepas acara penyampaian hadiah kejohanan itu.

Selain persatuan berkenaan, dua lagi pasukan mewakili negara iaitu Tarian Singa Kwong Ngai serta Malaysia Xuan Long Dragon and Lion Dance Rawang Selangor, mara ke peringkat akhir.

Persatuan Kwong Ngai berjaya menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 8.89 mata, manakala pasukan dari Rawang terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada bahagian kaki seorang daripada ahlinya.

Penasihat Persatuan Tarian Singa Malaysia Siow Ho Phiew menyatakan rasa bangga dan berpuas hati terhadap pencapaian pasukan negara, sambil menyifatkan kejayaan tiga pasukan Malaysia mara ke pentas final sebagai satu pencapaian yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Ya, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dari Malaysia hari ini. Bila kita bercakap tentang kejohanan utama, kita perlu kerja keras dan berentap di Genting untuk menjadi juara di peringkat dunia atau dalam pertandingan lain,” katanya.

Kejohanan itu menyaksikan pasukan Singapura B menerusi Persatuan Sukan Yi Mei dinobatkan sebagai juara dengan 9.78 mata, manakala rakan senegara pasukan Singapura A yang juga diwakili persatuan sama di tempat kedua dengan catatan 9.66 mata.

Masing-masing membawa pulang wang tunai US$18,000 dan US$10,000 bersama trofi dan pingat.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting Spencer Lee berkata edisi kali ini, menampilkan kelainan ketara dengan penggunaan alatan dan elemen penceritaan yang lebih kreatif, menjadikan tarian singa bukan sekadar persembahan budaya, malah satu bentuk sukan yang memerlukan stamina tinggi.

“Kami berharap suatu hari nanti tarian singa dapat dijadikan acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia atau Olimpik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Kejohanan bermula Jumaat, anjuran Resorts World Genting dengan kerjasama Persekutuan Tarian Naga dan Singa Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, menyaksikan penyertaan 40 pasukan dari seluruh dunia. - BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD