fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri, KFA perlu cari jalan atasi krisis kewangan KDA FC

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC)/Foto KDA FC

KUALA NERANG, 3 Februari – Kerajaan Negeri Kedah dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) disaran untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan kemelut kewangan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), walaupun kelab itu telah diswastakan.

Bekas Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selaku Presiden KFA, perlu mencari jalan bagi memastikan krisis yang melanda kelab kesayangan rakyat negeri itu dapat dipulihkan dengan segera.

"Saya nampak KDA FC ini seperti dianaktirikan dan saya tidak faham mengapa. Sebagai badan induk bola sepak negeri, KFA sepatutnya memberi perhatian lebih serius dan membantu pasukan.

"Jika tiada campur tangan dari kerajaan negeri atau KFA, tidak mustahil isu ini akan berlarutan dan merosakkan mutu bola sepak negeri Kedah," katanya.

Menurut beliau, tanpa bantuan dan sokongan daripada KFA serta kerajaan negeri, sukar untuk KDA FC kembali bangkit daripada krisis yang sedang melanda.

"Jika masalah ini dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian, ia bukan sahaja merugikan pasukan tetapi juga bola sepak negeri secara keseluruhan," katanya ketika ditemui RTM selepas menghadiri Majlis Meraikan Kejayaan PDM Barohkas FC menjuarai Liga Tok Det 2025 di Teratai Chalet, di sini pada malam Ahad.

Sehingga kini, kemelut kewangan KDA FC masih belum menemui jalan penyelesaian, walaupun pelbagai usaha sedang dilakukan oleh pemilik majoritinya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Keadaan ini telah menyebabkan beberapa pemain utama, termasuk pemain import dan tempatan, bertindak meninggalkan pasukan akibat kelewatan pembayaran gaji selama beberapa bulan.

Justeru, Badrol menegaskan bahawa semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemain yang masih bertahan dalam pasukan seharusnya membuka mata semua pihak untuk tampil membantu.

GRACE AISYAH KEDAYAN