Morgan Rogers sertai Chelsea dengan rekod perpindahan baharu Britain

Morgan Rogers/Foto REUTERS

LONDON, 22 Julai – Chelsea melengkapkan perpindahan pemain antarabangsa England, Morgan Rogers, dari Aston Villa dengan kontrak sehingga 2033, umum kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod perpindahan dilaporkan 117 juta pound, menjadikan Rogers pemain Britain paling mahal.
  • Jumlah itu dilaporkan melebihi rekod sebelumnya 116 juta pound untuk Elliot Anderson.
  • Rogers, 23, menjaringkan 31 gol dalam 125 penampilan dan buat debut kebangsaan England.
  • Beliau membantu pasukan menjuarai Liga Europa dan menjaringkan gol dalam final menentang Freiburg.

Media Britain melaporkan nilai perpindahan tersebut mencecah 117 juta pound sterling (AS$157 juta), sekali gus menjadikan Rogers pemain Britain paling mahal dalam sejarah.

Walaupun kedua-dua kelab tidak mendedahkan butiran kewangan, Sky Sports melaporkan jumlah itu mengatasi rekod terdahulu yang menyaksikan Manchester City membayar sehingga 116 juta pound sterling kepada Nottingham Forest untuk mendapatkan pemain tengah, Elliot Anderson, awal bulan ini.

Sebelum ini, rekod pembelian Chelsea dipegang oleh pemain tengah Ecuador, Moises Caicedo dibeli dari Brighton & Hove Albion dengan nilai 115 juta pound sterling pada 2023.

Rogers, 23, menjaringkan 31 gol dalam 125 penampilan bersama Aston Villa sejak menyertai kelab itu dari Middlesbrough pada 2024, sebelum membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan England pada tahun yang sama.

Dia turut beraksi dalam tujuh daripada lapan perlawanan England ketika pasukan itu menamatkan kempen Piala Dunia di tempat ketiga, selain menikmati musim domestik paling produktif apabila menjaringkan 10 gol Liga Perdana musim lalu.

Chelsea menamatkan saingan liga di tangga ke-10 musim lalu akan memulakan kempen baharu mereka menentang Fulham pada 24 Ogos.

“Saya sangat teruja. Bagi saya, Chelsea adalah kelab terbesar di London dan sebuah kelab yang saya kagumi sejak kecil.

“Saya juga teruja dengan projek yang dibawa pengurus baharu, kualiti pemain yang ada serta hala tuju kelab ini. Itulah sebab saya berada di sini dan saya tidak sabar untuk memulakannya,” kata Rogers dalam kenyataan kelab.

Rogers yang mampu beraksi di posisi sayap atau pemain tengah menyerang meninggalkan Villa selepas dua tahun dan memainkan peranan penting membantu kelab itu menjuarai Liga Europa, Mei lalu.

Dia turut menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Freiburg pada perlawanan akhir, sekali gus membantu Aston Villa merangkul trofi utama Eropah pertama sejak 1982.-Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.