
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Momentum kejayaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 diteruskan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
- Liputan diterbitkan di saluran Sukan+ (MYTV 111), RTMKlik, media sosial RTM serta Astro 806.
- Hampir 100 jam siaran termasuk Upacara Pembukaan dan Penutup, dua sesi laporan langsung serta slot sorotan harian.
- Hos Upacara Pembukaan: Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari, Nazrie Fahmie. Penutup: Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim, Iffah Hazim.
- Kontinjen Malaysia: 59 atlet termasuk 22 atlet para, 64 acara lapan sukan. Sasaran: 5 emas, 2 perak, 4 gangsa.
Kenyataan RTM memaklumkan liputan siaran langsung aksi atlet negara di persada antarabangsa itu akan disiarkan menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik termasuk media sosial rasmi RTM, selain menerusi saluran Sukan+ di Astro 806.
“Sepanjang temasya, RTM menyediakan hampir 100 jam siaran termasuk liputan Upacara Pembukaan dan Penutup, dua sesi siaran langsung laporan harian serta slot sorotan harian.
“Sesi siaran langsung laporan harian bersiaran dari 24 Julai hingga 2 Ogos, pukul 6.00 petang hingga 9.00 malam, manakala sesi kedua bermula 25 Julai hingga 2 Ogos, pukul 1.00 pagi hingga 4.00 pagi.
“Slot sorotan harian pula disiarkan selama sejam bermula 25 Julai hingga 3 Ogos, dari 2.00 petang hingga 3.00 petang,”menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan turut memaklumkan bagi Grandstand Upacara Pembukaan pada 24 Julai berlangsung pada pukul 2.30 hingga 5.30 pagi, RTM menampilkan tiga hos berpengalaman masing-masing Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie untuk mengulas perjalanan majlis pembukaan temasya empat tahun sekali itu.
Sementara itu, Grandstand Upacara Penutup pada 3 Ogos yang bermula 2.30 hingga 5.30 pagi bakal dikendalikan Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim.
Pada temasya kali ini, kontinjen Malaysia diketuai Chef de Mission, Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kekuatan 59 atlet termasuk 22 atlet para, yang bakal beraksi dalam 64 acara melibatkan lapan jenis sukan.
Antara sukan yang disertai adalah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.
Kontinjen negara meletakkan sasaran membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa berdasarkan prestasi semasa atlet menjelang temasya.
Liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026 memperkukuh komitmen RTM dalam menyajikan kandungan sukan bertaraf antarabangsa kepada rakyat Malaysia, sekali gus meneruskan kesinambungan kejayaan penyiaran Piala Dunia FIFA 2026.