PM seru anak muda hayati perpaduan, kuasai teknologi baharu

Foto BERNAMA

PAROI, 22 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda agar menjadi generasi yang mengutamakan perpaduan, berintegriti serta menguasai ilmu dan teknologi baharu bagi memastikan masa depan negara terus cemerlang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelihara perpaduan dan hormati kepelbagaian kaum serta agama sebagai asas keharmonian dan kemajuan negara.
  • Tolak naratif perkauman dan agama yang membangkitkan kebencian; pupuk saling menghormati dan memahami.
  • Kuasai AI, pendigitalan, tenaga bersih, pengkomputeran kuantum melalui pendidikan STEM dan TVET untuk kekal berdaya saing.
  • Seimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai, budaya, agama, akhlak; tingkatkan integriti untuk perjuangan anti rasuah dan pengurusan telus.

Beliau berkata kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia merupakan satu kekuatan yang perlu dipelihara dan dihargai, bukannya dijadikan punca perpecahan.

“Tunku Abdul Rahman, dengan kebijaksanaan beliau sebagai seorang negarawan ulung, telah memperkenalkan moto ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ sebagai prinsip negara. Moto itu membawa maksud ‘unity in diversity’ atau perpaduan dalam kepelbagaian.

“Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku telah menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum. Justeru, rakyat perlu bersatu kerana hanya melalui perpaduan kita dapat meningkatkan kualiti, kekuatan dan kemajuan negara,” katanya.

Perdana Menteri menyatakannya ketika berucap pada Program Semarakkan Jelajah Rakan Muda di Paroi, Negeri Sembilan.

Menurut Datuk Seri Anwar, kejayaan sesebuah negara tidak ditentukan oleh kaum atau latar belakang seseorang, sebaliknya bergantung pada nilai kemanusiaan, akhlak, kejujuran dan amanah yang diamalkan oleh rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh membangkitkan kebencian atau perpecahan antara kaum dan agama.

Sebaliknya, mereka perlu terus memupuk semangat saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian yang menjadi asas keharmonian negara.

Mengulas mengenai pembangunan negara, Perdana Menteri berkata generasi muda perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, pengkomputeran kuantum serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

“Kita perlu menguasai bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, peralihan tenaga serta pengkomputeran kuantum. Jika kita gagal menguasai teknologi-teknologi baharu ini menerusi pendidikan STEM dan TVET, kita akan ketinggalan dalam persaingan global.

“Namun, kemajuan teknologi semata-mata tidak mencukupi. Dalam pendidikan, saya sering menekankan konsep ‘menggapai di langit, mengakar ke bumi’. Menggapai di langit bermaksud kita perlu menguasai teknologi masa depan seperti AI, pendigitalan, peralihan tenaga dan pengkomputeran kuantum.

“Pada masa yang sama, kita mesti terus mengakar ke bumi dengan berpegang teguh kepada nilai, budaya, agama dan akhlak sebagai asas membina negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pegangan nilai, budaya, agama dan akhlak yang menjadi teras pembinaan Malaysia MADANI.

“Selain tanggungjawab menguasai ilmu dan teknologi baharu, generasi muda perlu berdisiplin serta bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu agar mampu mencapai kecemerlangan.

“Kita mahu melihat negara ini terus cemerlang. Kecemerlangan Malaysia bukan bergantung pada Perdana Menteri semata-mata, tetapi kepada kekuatan, kebangkitan serta keupayaan anak-anak muda yang memiliki kepintaran, kesungguhan dan disiplin untuk memajukan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata usaha membanteras rasuah dan penyelewengan akan terus diperkukuh kerana integriti merupakan syarat utama bagi memastikan kekayaan negara dapat diurus secara telus dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan seluruh rakyat.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru anak muda supaya menghormati ibu bapa dan guru, gigih menimba ilmu serta membina jati diri yang kukuh agar mampu menjadi generasi berdisiplin, berdaya saing dan memacu kemajuan negara berteraskan perpaduan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.