
PAROI, 22 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dasar kemasukan ke Program Matrikulasi yang menawarkan tempat secara automatik kepada pelajar cemerlang dilaksanakan tanpa mengira kaum.
- Pelajar yang memperoleh keputusan 10A akan ditawarkan kemasukan ke Program Matrikulasi secara automatik.
- Kuota Bumiputera dikekalkan untuk memastikan pelajar luar bandar dan pedalaman terus mendapat peluang melanjutkan pelajaran.
- Kerajaan membantu pelajar berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, mengekalkan keseimbangan antara merit dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A layak menerima tawaran ke Program Matrikulasi secara automatik, sama ada Melayu, Cina, India mahupun kaum-kaum lain.
“Pelajar yang memperoleh keputusan 10A akan ditawarkan kemasukan ke Program Matrikulasi secara automatik tanpa mengira kaum, sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain.
“Walaupun majoriti penerima merupakan pelajar Melayu kerana mereka membentuk sebahagian besar daripada keseluruhan pelajar di negara ini, dasar itu memberi peluang sama rata kepada semua pelajar cemerlang.
“Dengan pendekatan ini, setiap pelajar akan yakin bahawa jika mereka belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh keputusan 10A, mereka layak menerima tawaran ke Program Matrikulasi secara automatik, tanpa mengira sama ada berasal dari Seremban, kawasan pedalaman Sarawak atau mana-mana negeri.
“Pada masa sama, kuota Bumiputera dalam Program Matrikulasi tetap dikekalkan bagi memastikan pelajar Bumiputera, khususnya dari kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Kapit, Sarawak, terus mendapat peluang melanjutkan pelajaran. Malah, majoriti kuota Program Matrikulasi masih diperuntukkan kepada Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarakkan Jelajah Rakan Muda di Paroi, Negeri Sembilan.
Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik, di samping memastikan sistem pendidikan negara kekal adil, inklusif dan berteraskan merit.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar menjelaskan kuota Bumiputera dalam Program Matrikulasi terus dikekalkan bagi mengambil kira faktor sosioekonomi serta memastikan peluang pendidikan kepada golongan yang memerlukan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, kerajaan juga akan terus membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira kaum supaya tiada yang tercicir daripada memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk mengekalkan keseimbangan antara prinsip merit dan tanggungjawab membantu kumpulan yang memerlukan, sekali gus memperkukuh perpaduan nasional serta keadilan sosial.