Pendirian Malaysia tegas sekat kemasukan warga Israel

Malaysia sebuah negara berdaulat, berhak menentukan dasar sendiri tanpa dipengaruhi tekanan luar / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 22 Julai – Malaysia terus berpegang kepada pendirian menyekat kemasukan warga Israel ke negara ini, walaupun berdepan kritikan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendirian negara berdasarkan mempertahankan hak asasi manusia dan menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.
  • Malaysia sebuah negara berdaulat berhak menentukan dasar sendiri tanpa dipengaruhi tekanan luar.
  • Perdana Menteri akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan kekalkan larangan kemasukan warga Israel.
  • Kuala Lumpur kekal menjalin hubungan baik antarabangsa tetapi tidak akan berkompromi mengenai prinsip kemanusiaan.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian berkenaan berasaskan prinsip mempertahankan hak asasi manusia dan menentang penindasan terhadap rakyat
Palestin.

“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berhak menentukan dasar sendiri tanpa dipengaruhi sebarang tekanan daripada pihak luar.

“Malaysia, negara merdeka. Kalau mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas bersuara, kita bebas bersuara. Oleh itu, saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warga negara Israel,”tegas Datuk Seri Anwar selepas merasmikan Program Jelajah Rakan Muda.

Penjelasan Perdana Menteri itu sebagai mengulas kenyataan lapan Ahli Kongres AS yang menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyuarakan tidak puas hati terhadap tindakan tegas Datuk Seri Anwar, yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Beliau bagaimanapun memaklumkan Kuala Lumpur akan terus mengekalkan hubungan baik dengan Washington menerusi perdagangan, pelaburan serta kerjasama dua hala, namun tidak akan berkompromi dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan.

“Kita kekal menjalinkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat seperti juga dengan negara lain. Tetapi mustahil kita tidak berani menegur pembunuhan rakyat yang tidak bersalah di Gaza,”jelas Perdana Menteri.

Justeru, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian mengenai isu kemanusiaan di Palestin serta mengekalkan dasar larangan kemasukan warga Israel ke negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.