Pendekatan WoG diperkukuh, perkasa transformasi digital perkhidmatan awam

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Julai – Kerajaan akan memperkukuh pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau Whole-of-Government (WoG) bagi membangunkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tangkas dan bersedia memenuhi keperluan masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membentuk ekosistem bersepadu melalui penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi bagi penyampaian perkhidmatan lebih mudah, seragam dan berorientasi keperluan rakyat.
  • Menginstitusikan GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital untuk membangunkan Gerbang Perkhidmatan Digital Bersepadu menerusi platform MyGov Malaysia.
  • Kejayaan transformasi diukur melalui pemendekan tempoh urusan, pemudahan proses perniagaan dan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, fasa seterusnya transformasi digital kerajaan memerlukan pembentukan ekosistem yang lebih bersepadu menerusi penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan lebih mudah, seragam dan berorientasikan keperluan rakyat.

Menurut beliau, rakyat tidak melihat kerajaan berdasarkan kementerian atau agensi tertentu ketika berurusan, sebaliknya menganggapnya sebagai satu entiti yang menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh.

“Fasa seterusnya bukan lagi mengenai pendigitalan perkhidmatan secara berasingan, sebaliknya mewujudkan nilai awam yang lebih besar menerusi ekosistem Keseluruhan Kerajaan yang tersusun.

“Bagi mengukuhkan peralihan ini, kerajaan telah menginstitusikan GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital untuk membangunkan Gerbang Perkhidmatan Digital Bersepadu Kerajaan menerusi platform MyGov Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Malaysia GovTech Flagship Report: Building Malaysia’s Future Government – Unlocking Public Sector Productivity with GovTech.

Tan Sri Shamsul Azri berkata, platform MyGov Malaysia akan berfungsi sebagai gerbang digital mudah alih tunggal yang selamat, dengan antara muka serta pengalaman pengguna yang lebih seragam, di samping membantu mengoptimumkan penggunaan sumber awam.

Tambah beliau, kejayaan transformasi digital kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah sistem yang dibangunkan, sebaliknya sejauh mana inisiatif tersebut mampu memendekkan tempoh urusan rakyat, memudahkan proses perniagaan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Pendekatan WoG akan menjadi pemangkin kepada sistem penyampaian kerajaan yang lebih bersepadu, cekap dan responsif, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan tadbir urus digital negara.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.