Malaysia, AS sepakat teruskan dialog tangani isu perdagangan

Foto FB Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk meneruskan dialog serta libat urus secara konstruktif dan telus dalam menangani pelbagai isu perdagangan yang melibatkan kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia tekankan peranan strategik sebagai rakan dagang dipercayai dan penyumbang penting kepada rantaian bekalan global, khususnya pembuatan berteknologi tinggi.
  • Perbincangan termasuk perkembangan siasatan di bawah Seksyen 301 dan 232 yang berpotensi menjejaskan eksport Malaysia.
  • Kedua pihak bertukar pandangan dan komited memperkukuh kerjasama perdagangan serta dialog berterusan demi manfaat bersama dan kestabilan rantaian bekalan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi mesyuarat dua hala pertama beliau bersama wakil perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer, bersempena lawatan kerjanya ke Washington.

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi melindungi kepentingan perdagangan dan pelaburan Malaysia, selain mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan ekonomi yang stabil, dipercayai dan berdaya saing.

“Dalam pertemuan tersebut, saya menekankan peranan strategik Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai serta penyumbang penting kepada rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

“Kami turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala berasaskan kepentingan bersama. Ini termasuk perkembangan berkaitan siasatan di bawah Seksyen 301 dan Seksyen 232 yang berpotensi memberi implikasi kepada eksport Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Seri Johari berkata, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan demi manfaat bersama.

Beliau turut menyuarakan harapan agar sebarang tindakan perdagangan yang diambil mengambil kira kepentingan kedua-dua negara, saling melengkapi serta tidak menjejaskan kestabilan dan daya tahan rantaian bekalan global.

Menurutnya, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat melalui dialog berterusan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.