
JELEBU, 22 Julai – Sektor ekopelancongan berpotensi menjadi pemangkin ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar sekiranya dimanfaatkan secara menyeluruh.
- Kampung Chennah mempunyai kelebihan alam semula jadi seperti air terjun, lokasi beriadah dan aktiviti lasak yang menarik pelancong.
- Aktiviti ekonomi berasaskan alam semula jadi boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk selain pertanian dan kebun durian.
- Kehadiran pelawat merancakkan ekonomi setempat melalui penginapan, makanan, produk tempatan, aktiviti rekreasi dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Kampung Chennah antara kawasan yang mempunyai kelebihan alam semula jadi yang mampu menarik kehadiran pelancong ke lokasi berkenaan.
“Kawasan ini mempunyai kelebihan besar dari segi alam semula jadi kerana air terjun, lokasi beriadah dan aktiviti lasak dan banyak lagi. Justeru, peluang ini perlu dimanfaatkan masyarakat setempat,” katanya.
Selain pertanian dan kebun durian, beliau berkata aktiviti ekonomi berasaskan alam semula jadi boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk.
“Kehadiran pelawat mampu merancakkan ekonomi setempat melalui penyediaan penginapan, makanan, produk tempatan serta aktiviti rekreasi.
“Usaha ini turut mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di samping meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar seperti Kampung Chennah,” ujarnya lagi.