MADRID, 27 November- Pemain Real Madrid, Jude Bellingham mengakui bahawa prestasi beliau lebih berkesan apabila bermain sebagai penyerang.
Namun, pemain antarabangsa England itu berkata beliau sedia beraksi dalam peranan yang lebih bertahan demi memberi laluan kepada rakan sepasukan dan membantu pasukan mencapai kemenangan.
Bellingham menjadi tonggak utama dalam kejayaan berganda Real Madrid merangkul trofi Liga Juara-Juara UEFA dan LaLiga musim lalu.
Bagaimanapun, prestasinya sedikit merosot sejak dipindahkan ke posisi kurang menyerang selepas ketibaan Kylian Mbappe.
Pemain berusia 21 tahun itu memulakan musim pertamanya di Sepanyol dengan cemerlang tahun lalu, menjaringkan lapan gol dalam sembilan perlawanan pertama LaLiga.
Musim ini beliau hanya mencatatkan dua jaringan dalam sembilan perlawanan, walaupun kedua-duanya dihasilkan dalam perlawanan berturut-turut bulan ini.
“Proses adaptasi ini sama seperti biasa. Dinamik permainan sedikit berubah, begitu juga gaya dan pendekatannya.
Namun, saya telah membuktikan bahawa saya mampu bermain di pelbagai posisi. Saya lebih suka bermain di bahagian hadapan, tetapi itu tidak penting bagi saya.
“Saya bersedia untuk bermain di mana-mana posisi yang ditetapkan. Ia tidak memberi kesan kepada saya. Pasukan sentiasa dirancang untuk menang. Saya sertai Real musim panas lalu ketika kelab kehilangan Benzema, salah seorang pemain terbaiknya.
“Ada kekosongan yang perlu diisi dan itu adalah cara untuk menampung kekurangan gol. Musim ini, kami telah menandatangani seorang daripada pemain terbaik generasi ini, yang telah menjaringkan jumlah gol luar biasa. Peranan saya akan berubah dan saya sepenuhnya bersedia untuk itu,” kata Bellingham kepada wartawan pada Selasa.
Real Madrid akan berdepan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu sebelum menjadi tuan rumah kepada Getafe dalam aksi LaLiga pada Ahad.- REUTERS