BLANKENHAIN, 28 Mei- Pengarah Sukan Jerman, Rudi Voller melaungkan keyakinan bahawa skuad Jerman bakal menjadi pencabar utama kejuaran Euro kali ini.
Keyakinan tersebut disandarkan kepada kemenangan pasukan tuan rumah Euro 2024 itu terhadap Perancis dan Belanda pada Mac lepas.
Voller turut berkata pasukan berkenaan menunjukkan peningkatan ketika kem latihan pendek di Thuringia sebelum beralih ke kem latihan utama di Bavaria.
"Kunci utama dalam perkembangan pasukan ialah dua perlawan persahabatan terahir pada Mac lalu.
"Selepas tiga bulan setengah di bawah kendalian Nagelsmann, kami memperolehi dua kemenangan dan itu memberikan pasukan lebih keyakinan mengahdapi Euro kali ini", katanya pada sidang media di sini.
Juara tiga kali kejuaraan Eropah itu gagal memberikan sebarang impak pada kejohanan antarabangsa sejak menjuarai Piala dunia 2014.
Kejohanan Euro 2024 merupakan medan terbaik bagi pasukan berkenaan membuktikan sesuatu di hadapan para penyokong sendiri.
Jerman tersingkir pada pusingan peringkat kumpulan pada dua edisi Piala Dunia dan gagal melepasi peringkat 16 terakhir pada kejohanan Eropah 2021.
Sementara itu, ketika Persekutuan Bola sepak Jerman menyasarkan pasukan berkenaan menjadi juara, jurulatih pasukan berkenaan, Julian Nagelsmann berkata pasukan berkenaan ingin membalas kembali terhadap sokongan para peminat dengan mempamerkan permainan yang menarik.
"Kami ingin membuktikan bahawa bola sepak adalah permainan menarik. Tiket bagi menyaksikan perlawanan adalah mahal. kami harus membayarnya dengan membuktikan bola sepak adalah sesuatu yang menarik kepada para peminat", kata Nagelsmann.
Pasukan Jerman akan membuka tirai kejohanan Euro 2024 pada 14 Jun dengan aksi menentang Scotland dalam kumpulan A.-REUTERS