
PUTRAJAYA, 20 Julai – Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bukan sahaja berupaya mengenakan hukuman setimpal ke atas pesalah, malah memastikan hak mangsa turut terbela.
- Pindaan Akta 333 mewajibkan pesalah membayar pampasan, memastikan hak mangsa dan waris terbela.
- YADIM sokong mekanisme pampasan komprehensif yang mengambil kira prinsip syariah seperti diyat.
- Undang-undang bertujuan memulihkan, melindungi dan membela golongan terkesan serta memupuk budaya bertanggungjawab di jalan raya.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan Bahrom menegaskan keadilan tidak hanya sekadar sabitan di mahkamah, sebaliknya harus diterjemahkan kepada pembelaan terhadap keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang, pencari nafkah atau menanggung kecacatan sepanjang hayat.
“Pendekatan ini menepati roh Islam yang menegakkan keadilan, memelihara
nyawa dan menuntut seseorang memikul tanggungjawab ke atas mudarat yang
ditimbulkan.
“Dalam semangat Malaysia MADANI, undang-undang bukan sekadar menghukum tetapi juga memulihkan, melindungi dan membela golongan yang terkesan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, YADIM turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berhubung pindaan Akta 333 yang mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris mereka.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Hasan memaklumkan YADIM juga menyambut baik usaha kerajaan untuk meneliti mekanisme pampasan yang lebih komprehensif termasuk mengambil kira prinsip-prinsip syariah seperti diyat.
“Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan membangunkan sistem perundangan yang berperikemanusiaan, seimbang dan berpaksikan keadilan,” katanya lagi.
Selain itu, sebagai institusi dakwah YADIM akan terus menggerakkan usaha agenda advokasi, pendidikan masyarakat dan kesedaran awam agar budaya bertanggungjawab di jalan raya menjadi sebahagian daripada pembinaan masyarakat beradab.