
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Empat lagi anak kapal warga Malaysia dari kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), selamat pulang ke tanah air, menjadikan kesemua lapan rakyat Malaysia dari kapal berkenaan telah berjaya dibawa pulang.
- Anak kapal tiba di KLIA pukul 9.00 pagi Isnin hasil usaha Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Jabatan Laut dan Sharjah.
- Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai melakukan beberapa siri lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak kapal.
- Konsulat berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras dengan Jabatan Laut Malaysia dan pemegang taruh untuk mempercepat proses kepulangan.
- Kementerian merakamkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama; Wisma Putra komited memelihara kebajikan rakyat Malaysia.
Menurut Kementerian Luar, kesemua anak kapal terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi Isnin dengan usaha berterusan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Jabatan Laut Malaysia bersama pihak berkuasa Sharjah.
“Empat anak kapal berkenaan dibenarkan turun dari kapal pada 18 Julai, manakala empat lagi dari kapal sama telah pulang ke Malaysia pada 10 April.
“Sebelum kepulangan mereka, Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai juga melakukan beberapa siri lawatan konsular terhadap anak-anak kapal itu bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.
“Dalam masa sama, pihak Konsulat Jeneral turut berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras usaha dengan Jabatan Laut Malaysia dan pemegang taruh yang berkaitan bagi membolehkan proses kepulangan anak-anak kapal itu berjalan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Kementerian tersebut turut merakamkan penghargaan Malaysia kepada kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam memudahkan kepulangan selamat anak kapal berkenaan.
Wisma Putra melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negeri sentiasa komited dalam usaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.