
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Dataran Merdeka bertukar menjadi lautan manusia apabila puluhan ribu peminat bola sepak berhimpun bagi menyaksikan tayangan skrin gergasi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 dalam suasana penuh semangat dan perpaduan.
- Pengunjung dari pelbagai latar belakang berkongsi keterujaan dan pengalaman yang mengeratkan hubungan.
- Pelawat antarabangsa puji suasana mesra dan keharmonian walaupun pasukan pilihan tewas.
- Tayangan awam dipandang sebagai medium yang menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa dan negara.
Kemeriahan jelas terasa sejak awal malam Ahad, apabila pengunjung dari pelbagai latar belakang memenuhi lokasi ikonik itu, sekali gus mencipta pengalaman luar biasa buat peminat sukan tanah air dan antarabangsa.
Bagi Hazrain Arsyad dari Selangor, peluang menyaksikan perlawanan bersama ribuan penyokong lain menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
“Suasana di sini memang luar biasa. Berpuluh-puluh ribu orang datang bersama-sama merasai kemeriahan final Piala Dunia. Saya bangga kerana sukan ini berjaya menyatukan semua orang,” katanya.
Turut berkongsi keterujaan, pelajar pertukaran dari Perancis, Younis menyifatkan suasana di Dataran Merdeka sebagai unik dan penuh keharmonian, meskipun pasukan pilihannya tewas.
“Apa yang paling menarik ialah melihat rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum berkumpul bersama-sama dalam suasana mesra. Saya juga melihat pengunjung dari pelbagai negara. Pengalaman ini amat mengagumkan,” katanya.
Seorang lagi pelajar dari Rusia, Tanya, turut teruja dengan kemeriahan yang disifatkannya sebagai luar biasa dan penuh energi positif.
Dalam pada itu, Noor Hamizahani Basiron berpendapat penganjuran tayangan awam seperti ini membuktikan sukan mampu menjadi medium penyatuan masyarakat tanpa mengira bangsa dan negara.
“Program seperti ini sangat baik kerana ia menghimpunkan ramai orang untuk berkongsi keterujaan. Sukan benar-benar menghubungkan masyarakat di seluruh dunia,” katanya.
Tayangan skrin gergasi final Piala Dunia FIFA 2026 di Dataran Merdeka bukan sahaja menghidupkan suasana bandar raya, malah memperlihatkan bagaimana sukan berupaya menyatukan masyarakat dalam semangat harmoni dan kebersamaan.