
ALOR SETAR, 20 Julai – Demam bola sepak dunia terus memuncak apabila lebih dua ribu peminat tempatan dan luar negara membanjiri Dataran Starwalk, di sini, bagi menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi tadi.
- Orang ramai mula hadir seawal 8 malam walaupun program rasmi bermula dua jam kemudian, mencerminkan keterujaan tinggi penyokong.
- Program Gegaq Final anjuran KEDAHfm dengan kerjasama MBAS diserikan aktiviti Pocket Games, kuiz Trivia dan penampilan penyampai popular.
- Pengunjung dihiburkan persembahan freestyle, Young Buskers, 200 t-shirt eksklusif untuk pelawat awal dan cabutan bertuah hadiah menarik.
Seawal pukul 8 malam Ahad, orang ramai mula memenuhi lokasi tersebut walaupun program rasmi hanya bermula dua jam kemudian, sekali gus mencerminkan keterujaan tinggi penyokong terhadap aksi kemuncak bola sepak dunia itu.
Program Gegaq Final Piala Dunia FIFA 2026 anjuran KEDAHfm dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang menghiburkan pengunjung.
Antaranya termasuk Pocket Games yang menyaksikan orang ramai mencuba sepakan penalti dan kemahiran menimbang bola bersama barisan penyampai radio KEDAHfm, selain penyertaan dalam kuiz Trivia World Cup 2026.
Kemunculan penyampai popular seperti DJ Nazri, DJ Sue, DJ Najmi atau lebih dikenali sebagai DJ Sumie, DJ Pidot, DJ E-Bazz dan DJ Puteri turut menambahkan kemeriahan suasana.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Kedah, Nur Hafizoh Idris serta Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya.
Selain itu, persembahan freestyle oleh Nik Khairul Anuar Iskandar Abdullah dan hiburan daripada Young Buskers Lorong Pekan berjaya memikat perhatian pengunjung sepanjang program berlangsung.
Bagi menambah keterujaan, seramai 200 pengunjung terawal menerima t-shirt eksklusif tajaan Pusat Pakaian Hari-Hari, selain peluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.
Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk dua tiket penerbangan ke Guangzhou, China, selain pelbagai hadiah sampingan lain.
Sekali gus menjadikan program tersebut bukan sahaja medan tontonan bola sepak, malah platform hiburan komuniti yang meriah.