
KANGAR, 20 Julai – Lebih 1,000 peminat bola sepak membanjiri Dataran Niaga Giant, Kangar bagi memeriahkan Karnival Bola Sepak MADANI sempena perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.
- Karnival anjuran Persatuan Bola Sepak Perlis bersama JBS Negeri Perlis dan RTM jadi medan pertemuan peminat berkongsi debaran.
- Program bertujuan menyemarakkan budaya bola sepak dan melahirkan bakat yang mampu membawa Malaysia ke pentas dunia.
- Aktiviti meriah termasuk Cabaran PS5, kuiz Kahoot, cabaran sepakan penalti dan jualan cenderamata Persatuan.
- Tayangan skrin gergasi di beberapa lokasi, cabutan bertuah setiap jam termasuk hadiah mega motosikal, serta trak makanan tambah kemeriahan.
Program anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis serta Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis (RTM) itu menjadi medan pertemuan peminat bola sepak berkongsi debaran menyaksikan aksi kemuncak kejohanan berprestij dunia.
Menurut Pengarah Program, Noor Amin Ahmad, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar menyediakan tayangan perlawanan, malah menjadi platform menyemarakkan budaya bola sepak dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun kita tak bertanding di peringkat Piala Dunia, tetapi kita tahu bola sepak ini sukan yang diminati sejagat seluruh dunia.
“Kita harap satu hari nanti kita dapat melahirkan ramai bintang-bintang yang boleh membawa Malaysia mencipta sejarah dengan bermain di Piala Dunia,” katanya
Selain tayangan skrin gergasi final Piala Dunia 2026, pengunjung turut disajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya Cabaran PS5, kuiz Piala Dunia menerusi Kahoot, cabaran sepakan penalti serta jualan cenderamata Persatuan Bola Sepak Perlis.
Turut diadakan cabutan bertuah setiap jam dengan hadiah menarik termasuk cabutan bertuah mega berupa sebuah motosikal, selain jualan trak makanan bagi menambah kemeriahan suasana.
Selain Dataran Niaga Giant, tayangan skrin gergasi perlawanan Sepanyol menentang Argentina turut berlangsung di beberapa lokasi lain iaitu perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Dewan Seri Malau Beseri serta Gapura Square Arked Niaga Padang Besar.
Suasana itu membuktikan demam Piala Dunia terus menyatukan peminat bola sepak tanpa mengira latar belakang, dalam semangat kesukanan dan perpaduan.