fb fb fb fb fb

Bola sepak SUKMA 2024: Johor kejutkan Terengganu

Aksi Terengganu menentang Johor. Foto FB SUKMA Sarawak 2024

SIBU,12 Ogos-Juara bertahan, Terengganu bermula langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Johor pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Stadium Zaidi Adruce di Sibu, hari ini.

Pemain Johor, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri muncul wira selepas menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-59.

Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan gol menyaksikan perlawanan separuh masa pertama tamat 0-0.

Kemenangan tersebut memberikan permulaan sempurna buat skuad bimbingan Gonzalo Sanz Zaballos menjelang aksi terakhir menentang Sabah Rabu ini.

"Pada separuh masa pertama, kami berdepan kesukaran dan kami tidak mengambil risiko. Pada Separuh masa kedua, kami mampu menguasai perlawanan dan bernasib baik dapat menjaringkan gol", katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Manakala Jurulatih Terengganu, Subri Sulong menyifatkan skuad bimbingannya tidak bernasib baik meskipun mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol.

"Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada para pemain kerana dapat bermain baik dan menunjukkan satu prestasi yang menakjubkan hari ini", katanya.

Dalam pada itu, Perak menang tipis ke atas tuan rumah, Sarawak 1-0 pada pertembungan Kumpulan D yang berlangsung di di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Aznil menerusi sepakan penalti pada minit ke-37.

Sementara itu, naib juara edisi lepas, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas terikat tanpa jaringan pada aksi Kumpulan C di Stadium Bintulu.

Dalam saingan Kumpulan A pula, juara dua kali Selangor menundukkan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Azman Hashim, Sibu.

Saingan bola sepak lelaki adalah acara terawal membuka tirai bermula hari ini hingga 24 Ogos depan

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD