
KUALA LUMPUR, 20 September – Atlet baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan menyasarkan balingan melepasi 65 meter pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Fokus kepada teknik sepanjang dua bulan persiapan untuk memperbaiki catatan.
- Menganggap kekuatan fizikal sudah mencukupi untuk menghasilkan balingan optimum.
- Latihan singkat kerana komitmen latihan industri sebagai guru Pendidikan Jasmani dijadikan motivasi, bukan halangan.
Sadat yang mencatat rekod peribadi terbaik 65 meter pada Jun lalu, optimis mampu memperbaiki catatan itu dengan memberi tumpuan kepada aspek teknik sepanjang persiapan.
“Sasaran saya adalah untuk buat yang terbaik dengan fokus kepada teknik. Sepanjang dua bulan ini, saya banyak fokus kepada teknik.
“Kalau dari segi kekuatan, saya rasa sudah mencukupi untuk membuat balingan yang optimum. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya sasarkan untuk buat 65 meter ke atas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebelum berlepas ke Jepun, malam ini.
Sadat berkata, tempoh latihan yang agak singkat kebelakangan ini disebabkan komitmennya menjalani latihan industri sebagai guru Pendidikan Jasmani pada sesi pagi.
Bagaimanapun, beliau tidak menganggap keadaan itu sebagai penghalang, sebaliknya menjadikannya motivasi untuk terus komited menjalani latihan.
“Tekanan itu memang ada, daripada tempat saya menjalani latihan industri dan juga tempat latihan. Tetapi saya anggap ia sebagai satu motivasi yang baik untuk saya,” katanya.
Menurut Sadat, persiapannya sepanjang dua bulan lalu lebih tertumpu kepada pemantapan teknik selepas aspek kekuatan fizikal dianggap sudah mencukupi untuk menghasilkan balingan optimum.
Beliau kini mahu memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi dan melakukan yang terbaik dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia.