NILAI, 26 April - Atlet berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mendapat suntikan semangat apabila bakal menggunakan basikal baharu pada penampilan sulung beliau menjelang temasya Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.
Khabar gembira itu dimaklumkan Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, John Beasley dalam satu sidang media bersama pasukan berbasikal trek negara ke Paris 2024.
"Mengenai basikal itu, ia akan diperjelaskan secara lebih terperinci selepas ini kerana (kami) bercadang untuk membuat pelancaran. Izzah akan menggunakan WX-R dalam beberapa minggu lagi," kata Beasley.
Tambah Beasley, basikal baharu berteknologi tinggi itu adalah sama seperti yang akan digunakan oleh Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Sementara itu, Nurul Izzah akui basikal baharu akan digunakan nanti mampu membantunya tampil cemerlang di pentas Olimpik.
"Saya sangat gembira. Saya pun tak boleh nak gambarkan macam mana, saya tengok orang lain pakai, saya pun rasa macam kali ini tiba saat saya pakai (basikal) ini.
"Jadi saya kena buat yang terbaik sebab saya dapat apa yang Azizul dapat. Jadi saya akan buktikan saya pun boleh jadi macam mereka juga," katanya.
Pemenang dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di India pada Februari itu juga tekad memperbaiki kayuhan sebelum ke Paris.
Temasya Olimpik akan berlangsung bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Nurul Izzah berpotensi sertai Program Fast Track RTG
- Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah layak ke Olimpik Paris
- Nurul Izzah mampu jadi pelumba bertaraf dunia-Beasley
- ACC 2024 :Nurul Izzah tamat kemarau emas keirin wanita negara
- Sukan Komanwel 2022: Nurul Izzah bakal gegar Valodrom Lee Valley VeloPark