fb fb fb fb fb

Sri Pahang FC sasar kedudukan tiga terbaik Liga Malaysia 2024/2025

Pasukan Sri Pahang FC pada Majlis Memperkenal Jersi baharu dan barisan pemain musim baharu/Foto Facebook Sri Pahang FC

KUANTAN, 26 April - Pasukan Sri Pahang FC menyasarkan untuk berada di kedudukan tiga terbaik bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.
 
Sasaran pada musim ini dilihat lebih baik berbanding tahun lalu berdasarkan kualiti pemain yang dibawa masuk ke dalam pasukan serta persiapan rapi yang telah dibuat setakat ini.
 
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, untuk musim ini pihaknya berjaya membentuk pasukan lebih seimbang berdasarkan pengalaman lalu.
 
"Hasil perbincangan lembaga pengarah dan barisan kejurulatihan kita menetapkan sasaran kalau dahulu di lima ke atas kali ini kita letakkan 3 ke atas untuk musim kali ini, saya rasa dengan barisan kejurulatihan dan Datuk Dollah selaku pengurus kita yakin dengan semangat yang ada dan tempat yang baru jelma pasukan kita di tangga 3 ke atas," katanya.
 
Senada dengan beliau, pengurus pasukan Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh juga optimis sasaran tersebut mampu dicapai serta realistik.
 
"Saya nampak banyak perbezaan tahun ini. Apa yang saya lihat pemain yang kita panggil, yang baru yang kita sign nampak dari segi kualiti agak berbeza kalau nak dibandingkan tahun lepas, saya percaya untuk dapat kesebelasan utama pun nampak masing-masing bersaing sengit," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperkenal Jersi baharu dan Pemain musim baharu Sri Pahang FC di sini, hari ini.
 
Dalam pada itu, Datuk Mohammed Suffian turut memaklumkan, Stadium Majlis Perbandaran Temerloh menjadi venue utama Skuad Tok Gajah bagi musim ini, sehingga kerja-kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur, Kuantan, selesai.
 
Stadium MPT Temerloh, berkapasiti 9,283 penonton, dengan 2,384 daripadanya adalah tempat duduk di grandstand manakala baki 6,899 lagi ruang penonton membabitkan Zon A, B, C dan D.
 
Sementara itu, Jersi Baharu Sri Pahang FC pada musim ini bekerjsama dengan jenama Voltra Pro dengan masih mengekalkan warna kuning dan biru bagi jersi Utama (home), warna nuansa coklat muda bagi kit jersi kedua (away) dan warna hitam bagi jersi ketiga atau alternatif.
 
Pada musim baharu ini, Sri Pahang mempertaruhkan enam import iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina) dan Kuvondik Ruziev (Uzbekistan) yang beraksi musim lalu.
 
Manakala, tiga import baharu yang dibawa masuk ialah Mykola Ahapov dari Ukraine, Manuel Hidalgo (Argentina) dan Aleksandar Cvetkovic (Serbia).
 
Enam pemain baharu tempatan ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim, T Saravanan dan penjaga gol, Azfar Arif.

GRACE AISYAH KEDAYAN