KUALA LUMPUR, 30 Disember - Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong mengakui tahap prestasinya masih belum berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2026, namun yakin peningkatan akan dapat dilihat hasil persiapan rapi yang sedang dilaksanakan.
Wei Chong berkata kekangan waktu menyukarkan proses pemulihan sepenuhnya namun latihan berterusan tetap dilakukan bagi mengekalkan tahap kecergasan dan sentuhan permainan.
"Belum 'on top' lagi. Kita baharu balik dari China dalam masa seminggu, sekarang kena berlatih dan mengekalkan prestasi," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.
Mengulas mengenai sasaran, Wei Chong tidak menyembunyikan hasrat untuk mara lebih jauh memandangkan akan bermain di laman sendiri.
"Main dekat Malaysia, memang sasaran kita nak prestasi lebih segar. Harap boleh dapat satu pingat, masuk final kalau boleh," ujarnya.
Dalam pada itu, Wei Chong turut akui pasangan beregu Indonesia dilihat menjadi penghalang utama kerana konsistensi lawan menjadi faktor utama kekalahan sebelum ini.
"Strategi mereka hampir sama dengan kita, tapi mereka lebih konsisten. Itu yang kita kena perbaiki," katanya.
Terbuka Malaysia 2026 dijangka menjadi medan penting buat Wei Chong-Tee Kai Wun untuk memulakan musim baharu dengan momentum positif.