KUALA LUMPUR, 30 Disember - Ketua jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson mengesahkan penamatan kontraknya bersama Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dibuat atas persetujuan bersama dan tidak melibatkan sebarang konflik.
Menurut Anderson, keputusan itu dicapai secara matang tanpa sebarang isu atau rasa tidak puas hati antara kedua-dua pihak.
"Tiada sebarang masalah atau konflik. Keputusan ini dibuat secara profesional dan saya berpuas hati dengan apa yang telah dicapai," kata beliau.
Beliau menyifatkan tempoh dua tahun bersama MAS sebagai satu pengalaman yang amat berharga, termasuk kejayaan mencatat kutipan pingat terbaik negara dalam dua edisi Sukan SEA serta peningkatan ketara prestasi atlet di pentas antarabangsa.
"Saya sangat bangga dengan pencapaian sepanjang dua tahun bersama skuad negara. Kini tiba masanya untuk melangkah ke fasa baharu dan menyumbang kepada komuniti renang melalui pendekatan yang berbeza," katanya lagi.
Anderson turut memaklumkan tumpuannya selepas ini adalah kepada pembangunan komuniti renang, termasuk kerja perundingan, pendidikan jurulatih serta pembangunan sukan di peringkat serantau.
Anderson dilantik sebagai ketua jurulatih renang kebangsaan pada tahun 2024 dan meninggalkan legasi signifikan meskipun berkhidmat dalam tempoh singkat, khususnya melalui peningkatan prestasi atlet dan pencapaian pingat di peringkat serantau serta antarabangsa.
Beliau akan menamatkan kontraknya bersama MAS secara rasmi pada 31 Disember.