fb fb fb fb fb

‘King Kazu’ Miura sertai pasukan baharu pada usia 58 tahun

Foto AFP

JEPUN, 30 Disember – Legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura yang terkenal sebagai ‘King Kazu’ menegaskan semangatnya terhadap permainan tetap kuat selepas menandatangani kontrak pada usia 58 tahun bersama Fukushima United, pasukan divisyen ketiga Jepun, pada Selasa.

Miura, yang akan menyambut ulang tahun ke-59 pada Februari, menyertai Fukushima secara pinjaman sehingga Jun ini, menandakan musim ke-41 beliau sebagai pemain profesional.

“Semangat saya untuk bola sepak tidak berubah, tidak kira berapa umur saya. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk bermain di Fukushima dan akan berjuang sepenuhnya sebagai ahli pasukan,” kata Miura dalam kenyataan kelab baharu itu.

Miura kembali ke J. League, iaitu liga profesional Jepun untuk tiga divisyen teratas buat pertama kali dalam lima tahun selepas menghabiskan musim lalu bersama Atletico Suzuka di divisyen keempat, di mana beliau membuat tujuh penampilan sebelum pasukan itu tersingkir ke liga serantau.

Fukushima United menamatkan musim lalu di tangga ke-10 daripada 20 pasukan dalam divisyen ketiga dan Miura bertekad untuk memberikan sumbangan penuh kepada pasukan, pengurusan, peminat dan komuniti tempatan.

Miura memulakan karier profesionalnya pada 1986 bersama Santos di Brazil dan turut beraksi di kelab-kelab di Itali, Croatia, Australia dan Portugal. Beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak profesional Jepun ketika J. League dilancarkan pada 1993.

Beliau membuat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan Jepun pada 1990 dan menjaringkan 55 gol dalam 89 perlawanan, namun terkenal kerana tidak disenarai untuk Piala Dunia 1998 walaupun prestasi cemerlangnya. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN