fb fb fb fb fb

Farrell juara lompat tinggi Grand Final Varsity Track & Field Championship 2025

Farrell Glenn Felix Jurus

KUALA LUMPUR, 15 November - Jaguh lompat tinggi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Farrell Glenn Felix Jurus, dinobatkan sebagai juara acara lompat tinggi lelaki pada saingan Grand Final Varsity Track & Field Championship 2025 selepas mencatat lompatan setinggi 2.05 meter.

Farrell, yang sebelum ini meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 dalam acara sama dengan catatan 2.15 meter, mengakui beliau tidak berpuas hati dengan prestasinya kali ini.

Namun, beliau tetap berasa bangga dengan pencapaian itu kerana berjaya mengatasi cabaran keadaan hujan pada perlawanan akhir hari ini.

"Perasaan menang hari ini sedikit kecewa. Disebabkan hujan, kami tersadai di sini selama lebih kurang 50 minit. Namun begitu, bagi saya pencapaian tadi tetap boleh dibanggakan.

"Saya sentiasa mampu melakukan lebih lagi, dengan sasaran mencapai ketinggian 2.10 meter ke atas," katanya selepas perlawanan acara lompat tinggi lelaki di sini, hari ini.

Selain kejayaan di pentas Sukan SEA, rekod terbaik atlet kelahiran Sabah itu ialah lompatan setinggi 2.16 meter pada Sirkit Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2/2025.

Farrell juga pernah meraih pingat emas pada Sukma 2022 dengan mencatat lompatan setinggi 2.15 meter, malah pernah mencipta kejutan dengan menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi, Mohamad Eizlan Dahalan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI