fb fb fb fb fb

Datuk Awalan terus teraju PLBM hingga 2027

Ini adalah penggal ketiga Datuk Awalan mengalas jawatan No.1 PLBM sejak 2021-2023 dan meneruskan peranan itu bagi penggal kedua 2023-2025 / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 November - Datuk Awalan Abdul Aziz terus menerajui Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) untuk tempoh dua tahun lagi selepas beliau menang tanpa bertanding jawatan presiden bagi penggal 2025-2027.

Menurut kenyataan PLBM, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 persekutuan berkenaan yang berlangsung di Pusat Boling Padang Kebangsaan di Bukit Kiara.

Ini adalah penggal ketiga Datuk Awalan mengalas jawatan No.1 PLBM sejak 2021-2023 dan meneruskan peranan itu bagi penggal kedua 2023-2025.

“Di bawah kepimpinan dinamik Datuk Awalan, sukan boling padang telah berkembang ke tahap yang membanggakan dengan pencapaian cemerlang.

"Tidak dapat dinafikan kepimpinan Datuk Awalan memainkan peranan penting dalam kejayaan kukuh sukan ini di peringkat global,” kata kenyataan itu.

Antara pencapaian terbaik sukan boling padang Malaysia sewaktu di bawah kepimpinan Datuk Awalan termasuk muncul juara keseluruhan Piala Dunia 2025 yang baru berakhir di Kuala Lumpur dengan meraih satu pingat emas dan tiga gangsa, menewaskan kuasa besar seperti Australia, England, New Zealand, Scotland dan Wales.

Sementara itu, dua jawatan tertinggi lain iaitu timbalan presiden dan naib presiden turut kekal apabila penyandang menang tanpa bertanding. - BERNAMA

ZAZALI JAMIAN