AGADIR, 30 Disember - Mesir menamatkan saingan Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan rekod tanpa kalah selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Angola pada Isnin, walaupun menurunkan barisan pemain simpanan.
Juara tujuh kali AFCON itu sudah mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan sebelum perlawanan, sekali gus membolehkan pengendali pasukan merehatkan pemain utama termasuk Mohamed Salah dan Omar Marmoush, dengan Mesir membuat 11 pertukaran pemain daripada kemenangan 1-0 ke atas Afrika Selatan sebelum ini.
Keputusan tersebut menyaksikan Mesir mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan kumpulan.
Sementara itu, Angola menamatkan kempen kumpulan di tempat ketiga dengan dua mata, namun masih berpeluang mara ke peringkat 16 terbaik sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.
Bagaimanapun, peluang Angola bergantung kepada keputusan perlawanan lain, termasuk aksi Kumpulan A dan Kumpulan C yang berlangsung selepas ini. -REUTERS