KUALA LUMPUR, 15 November - Selangor FC dikenakan hukuman bermain tanpa penonton untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri dan dikenakan denda sebanyak RM100,000.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu dicapai menerusi mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029 pada Jumaat menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.
"Selangor FC adalah dikenakan hukuman bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA, iaitu perlawanan Separuh Akhir 2 Piala FA 2025-2026, Selangor FC menentang Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Ahad, 30 November dan perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.
"Selangor FC juga didenda sebanyak RM100,000 akibat daripada kesalahan berulang (Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM)," menurut kenyataan itu.
Hukuman berkenaan susulan perlawanan Suku Akhir 2 Piala FA 2025-2026, Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu, 29 Oktober.
Selangor FC juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama namun keputusan tersebut boleh dirayu.
Juara lima kali itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5.
Menurut pertuduhan 1, Baljit berkata penyokong Selangor melakukan pembakaran mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan mercun telah dilihat dan didengari, yang dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan.
Bagi pertuduhan 2, penyokong tuan rumah merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan yang telah mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong lawan.
Sementara itu pertuduhan 3 menyatakan bahawa dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC telah membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.
Bagi Pertuduhan 4, penyokong Selangor FC telah melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.
Selangor FC didapati gagal mematuhi obligasi penganjuran perlawanan seperti terkandung dalam pertuduhan 5, antaranya mematuhi dan melaksanakan undang-undang keselamatan sedia ada termasuk daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa selain memastikan pihak berkuasa tempatan dimaklumkan dan bekerjasama dengan mereka secara aktif serta efektif.