
SUBANG, 6 April– Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama empat hari bermula hari ini hingga 9 April.
- OPA difokuskan di Kedah, Perlis, Perak dan Johor untuk meningkatkan paras empangan dan memastikan bekalan air semasa cuaca panas dan kering.
- Sejumlah garam dilarutkan dalam air dan disembur ke dalam awan untuk mempercepat pembentukan titisan sehingga turun sebagai hujan.
- Pesawat C-130 terbang pada 5,000 hingga 9,000 kaki sebelum menyembur larutan garam kepada awan kumulus menara berwap air mencukupi.
OPA difokuskan di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Johor, bagi meningkatkan paras air empangan yang terjejas selain memastikan bekalan air negara terus terjamin sepanjang cuaca panas dan kering ketika ini.
Sejumlah 200 kilogram (kg) garam (natrium klorida) dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi setiap tangki, dengan penggunaan empat (4) tangki sehari (800 kilogram sehari).
Pesawat C-130 Hercules TUDM akan diterbangkan pada ketinggian 5,000 hingga 9,000 kaki sebelum larutan garam disembur ke dalam awan yang dikenalpasti, khususnya awan kumulus menara yang mempunyai kandungan wap air mencukupi.
Larutan garam ini bertindak sebagai nukleus pemeluwapan yang mempercepatkan pembentukan titisan air sehingga menjadi lebih besar dan seterusnya turun sebagai hujan.
11 lokasi empangan terlibat iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis; Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda di Kedah; Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah di Perak.
Di Johor, empangan dikenal pasti ialah Empangan Lebam, Empangan Upper Layang, Empangan Lower Layang, Empangan Gunung Pulai dan Empangan Machap .