
SUNGAI PETANI, 6 April — Polis mengesahkan punca kematian dua penuntut Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis ketika aktiviti berkayak di perairan Pantai Merdeka pada Sabtu lalu adalah disebabkan lemas.
- Mangsa dikenal pasti sebagai Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.
- Kedua-duanya penuntut Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam Pendidikan Jasmani di IPG Kampus Perlis.
- Kejadian dipercayai berlaku apabila bot kayak mereka terbalik akibat arus deras semasa aktiviti sukan air di Pantai Merdeka.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diperoleh selepas hasil proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi tadi.
Dua penuntut yang terlibat dalam kejadian tersebut dikenal pasti sebagai Christopher Ling Jia Siang, 21, dan, Joey Ling Lin Siang, 20.
Kedua-dua mangsa merupakan penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam bidang Pendidikan Jasmani di institut berkenaan.
Hanyan berkata, jasad kedua-dua mangsa telah dibawa ke HSB semalam untuk proses bedah siasat sejurus ditemukan oleh pasukan penyelamat.
“Kedua-dua mendiang dijangka akan diterbangkan pulang ke kampung halaman mereka di Sarawak esok bagi urusan pengebumian,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejadian malang itu berlaku apabila bot kayak yang dinaiki kedua-dua pelajar berkenaan dipercayai terbalik akibat arus deras ketika mereka sedang melakukan aktiviti sukan air di kawasan pantai tersebut.