fb fb fb fb fb

Deaflympics 2025: Rentas seabad kegemilangan atlet pekak dunia

Kontinjen Malaysia terdiri daripada 25 atlet pekak berarak diiringi Ketua Kontinjen Mohd Yusri Abdul Ghani, Timbalan Ketua Kontinjen Jasmine Choo serta pembawa Jalur Gemilang, Foo Zu Tung pada upacara pembukaan Deaflympics Tokyo 2025 di Tokyo Metropolitan Gymnasium/ BERNAMA

TOKYO, 15 November - Jepun hari ini membuka tirai Deaflympics 2025, sekali gus meraikan ulang tahun ke-100 temasya sukan komuniti pekak dunia sejak edisi pertama di Paris pada 1924.

Seramai 3,081 atlet dari 81 negara membanjiri Tokyo Metropolitan Gymnasium, membawa semangat untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

Acara bermula dengan montaj menyentuh hati sebelum perarakan kontinjen memasuki arena.

Malaysia hadir sebagai negara ke-47, menampilkan 25 atlet bergaya dalam pakaian kebangsaan berona pic dengan sentuhan biru.

Ketua Kontinjen, Mohd Yusri Abdul Ghani, Timbalan Ketua Kontinjen Jasmine Choo, serta pembawa Jalur Gemilang Foo Zu Tung mengetuai kemaraan negara dengan penuh bangga.

Majlis pembukaan diserikan kehadiran kerabat Diraja Jepun dan pemimpin negara tuan rumah, sebelum Presiden ICSD Adam Kosa mengisytiharkan pembukaan rasmi Deaflympics 2025.

Penyalaan obor, ikrar atlet dan nyanyian lagu kebangsaan Jepun menghidupkan suasana arena.

Persembahan seni bertema 'One Day in 100 Years' menambah kemeriahan, mempamerkan budaya Jepun dalam visual yang kreatif dan penuh warna.

Temasya kali ini mempertandingkan lebih 200 acara pingat dalam 21 disiplin sukan termasuk badminton, boling, karate, renang, olahraga dan gusti.

Malaysia membawa misi memburu tiga pingat emas, berbekalkan rekod cemerlang dua emas yang diraih di Deaflympics Brazil 2022.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI