KUALA LUMPUR, 25 April - Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri kini berada dalam radar program Fast Track Road to Gold (RTG).
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihaknya sentiasa mengalu-alukan atlet berpotensi untuk berada dalam program elit tersebut.
"Saya ada melihat 'Tweet' Datuk Amarjit (Singh) yang mahu Nurul Izzah dimasukkan dalam program Fast Track. Saya juga melihat komen John Beasley (Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara) bahawa Nurul Izzah mempunyai masa depan yang cerah.
"Untuk kita dalam Jawatankuasa RTG, kita memang mengalu-alukan lebih ramai atlet berpotensi untuk menangkan pingat emas bukan sahaja di Paris tetapi juga di Los Angeles 2028 nanti.
"Setakat ini, kita ada skuasy dan terjun (dalam program Fast Track) dan kita akan mengadakan mesyuarat untuk mempertimbangkan, melihat kriteria kerana Jawatankuasa Road To Gold ini bukan menteri sahaja yang mempengerusikannya iaitu bersama Tan Sri Mohamad Norza (Zakaria) dan jawatankuasa itu akan buat keputusan.
"Untuk saya, hasrat saya adalah untuk melihat seramai mana yang boleh masuk (Fast Track) kerana kita nak lebih ramai atlet yang berpotensi membawa pulang pingat emas. Jadi ia bukan 'kelab eksklusif', sesiapa yang ada potensi (boleh disenaraikan) dan kita akan lihat kriteria dan mempertimbangkannya dalam masa terdekat," kata Hannah ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), hari ini.
Ketika ini Nurul Izzah Izzati antara empat atlet berbasikal yang berjaya mengesahkan slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Julai ini.