fb fb fb fb fb

SUKMA Ke-21: Kontinjen Negeri Sembilan sasar 19 pingat emas

Rombongan delegasi dari Kerajaan Negeri Sarawak sempena kunjungan hormat bagi mempromosikan Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARA SUKMA Ke-21 di Wisma Negeri, Seremban hari ini.

SEREMBAN, 25 April - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan lebih 19 buah pingat emas bagi Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 menerusi penyertaan 30 daripada 37 acara sukan yang akan dipertandingkan pada 17 sehingga 24 Ogos depan di Sarawak.

Seramai 500 orang termasuk sekretariat, pasukan perubatan, pengurus pasukan, jurulatih dan atlet akan terlibat pada acara SUKMA edisi kali ini.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, kerajaan negeri turut menyasarkan kedudukan dibawah 10 digit selepas pencapaian SUKMA ke-20 lepas yang cemerlang.

"Pastinya bukan sahaja atlet terlibat atau pun pegawai terlibat saja tetapi keluarga mereka juga pasti akan memberi sokongan.

"Jadi melalui ini kita juga menggalakkan supaya ibu bapa dan penjaga supaya sama-sama memberi sokongan kerana kita dalam negara dan secara tak langsung juga meningkatkan hubungan antara dua negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media Majlis Kunjung Hormat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA ke-21, sempena Promosi SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Wisma Negeri, Seremban di sini hari ini.

Antara acara sukan yang dipertaruhkan pada SUKMA edisi kali ini adalah badminton, berbasikal, squash, bola sepak, wushu, menembak, memanah dan E-sport.

Sementara itu, tujuh acara yang tidak disertai adalah angkat berat, golf, bola jaring, pelayaran, kriket, judo dan ping pong.

Dalam pada itu, Kontinjen Negeri Sembilan dijangka berlepas ke Sarawak bagi kejohanan itu secara berperingkat bermula 8 Ogos depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN