NEW DELHI. 26 Februari - Pelumba bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi muncul juara keirin edisi 2024.
Sekaligus menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin wanita.
Pelumba berusia 20 tahun itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi Tong Mengqi dari China yang merangkul perak.
Manakala seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa dalam saingan berlangsung di Velodrom Indira Gandhi.
Kejayaan Nurul Izzah pada hari kelima kejohanan menyaksikan dia menambah lagi pungutan pingat selepas meraih gangsa acara pecut wanita Jumaat lepas dan perak pecut wanita berpasukan bersama Anis Amira dan Nurul Aliana Syafika Azizan, Rabu lalu.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas keirin wanita adalah pada edisi 2012 di Velodrom Cheras, menerusi Fatehah Mustapa.