fb fb fb fb fb

Isu tajaan syarikat rokok, vape, KBS tambah baik Kod Sukan Selamat

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

PUTRAJAYA, 25 Februari - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil langkah proaktif untuk menambah baik Kod Sukan Selamat.

Ini bagi memastikan isu tajaan acara sukan oleh syarikat rokok dan vape tidak berulang pada masa hadapan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata kementerian bertegas tidak akan berkompromi dengan isu tersebut.

Beliau berkata, ia mampu mendatangkan kebimbangan kepada banyak pihak terutamanya ibu bapa untuk menghantar anak-anak menyertai aktiviti sukan.

"Saya tahu ada banyak kerisauan dan kita sedang melihat juga kod sukan selamat kerana kita mahu bukan sahaja untuk mewujudkan satu persekitaran yang selamat untuk peserta tetapi yang datang juga melihat.

"Kalau syarikat vape boleh datang dan jual produk mereka, ibu bapa tidak akan menghantar anak mereka ke program seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta di Kejohanan Triathlon Piala Asia, di Kompleks Sukan Air Putrajaya, di sini.

Rabu lalu, tular di media sosial berkenaan penganjuran Piala Polo 2024 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari mendapat tajaan daripada syarikat vape.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN