MADRID, 27 Oktober – Real Madrid mengukuhkan kedudukan di tangga teratas La Liga selepas menewaskan seteru utama, Barcelona 2-1 dalam pertembungan El Clasico yang tegang di Stadium Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Gol kemenangan Madrid dijaringkan Jude Bellingham pada babak pertama, membolehkan juara 35 kali itu melebarkan jurang lima mata ke atas Barcelona dalam kedudukan liga.
Bintang sensasi, Kylian Mbappe membuka tirai jaringan buat tuan rumah sebelum Barcelona menyamakan kedudukan menerusi Fermín Lopez pada minit ke-38.
Namun, rembatan Bellingham memastikan tiga mata penting menjadi milik Los Blancos menjelang rehat.
Barcelona, yang tampil tanpa beberapa tonggak utama termasuk Robert Lewandowski dan Raphinha, berdepan tekanan hebat sepanjang perlawanan.
Keadaan bertambah sukar bagi pelawat apabila pemain tengah, Pedri diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit-minit akhir.
Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso yang mengendalikan El Clasico pertamanya, menyifatkan kemenangan itu sebagai tonik penting selepas kekalahan derby kepada Atletico Madrid pada September lalu.
"Kami perlukan keyakinan bahawa kami mampu menang dalam perlawanan besar seperti ini," katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Madrid mencatat sembilan kemenangan daripada 10 aksi liga musim ini, sekali gus mengekalkan rentak cemerlang.
Pengendali sementara Barcelona, Marcus Sorg yang menggantikan Hansi Flick akibat penggantungan berkata pasukannya akan terus fokus meskipun berdepan kesukaran semasa.
Musim liga masih panjang dengan berbaki 28 perlawanan, namun kekalahan ini menjadi tamparan awal kepada misi Barcelona mempertahankan cabaran kejuaraan. -AFP