fb fb fb fb fb

Liga Super: Selangor, KL City seri 0-0

Pemain Kuala Lumpur City FC, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri (kiri) diasak oleh pemain Selangor FC, Faisal Halim pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Pertembungan hangat Derbi Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC, berakhir tanpa jaringan apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Permulaan perlawanan menyaksikan Selangor tampil lebih menguasai permainan, namun KL City hampir mencipta kejutan pada minit ke-25 menerusi peluang keemasan daripada Victor Abril, hasil hantaran kemas Nicolao Manuel namun sepakan Victor dari sebelah kiri padang sedikit tersasar daripada gawang tuan rumah.

Pada penghujung babak pertama, penjaga gol Selangor Sikh Izhan Nazrel menjadi benteng terakhir yang sukar ditembusi KL City, apabila berjaya menafikan percubaan Muhammad Safawi Rashid hasil sepakan penjuru untuk mengekalkan kedudukan tanpa jaringan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua dimulakan, kedua-dua pasukan jelas beraksi dengan terdesak untuk mencari jaringan, apabila menyaksikan beberapa insiden fizikal berlaku termasuk pertembungan antara pemain pertahanan Selangor Richmond Ankrah dan Safawi pada minit ke-66.

Walau bagaimanapun, tiada jaringan berjaya dihasilkan dengan ketika waktu kecederaan babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha dengan pelbagai taktikal serangan namun perlawanan tetap berakhir tanpa sebarang jaringan.

Sementara itu di Stadium Negeri Batu Kawan menyaksikan Imigresen FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat Sabah FC 2-2.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan tempo berhati-hati sebelum tuan rumah memecah kebuntuan minit ke-27 menerusi penyerang import, Joao Pedro yang melepaskan rembatan kencang hasil lorongan rakan senegara, Eduardo Jose Sosa dari sebelah kanan padang untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Damien Lim Chien Khai.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat menyamakan kedudukan minit ke-50 menerusi Stuart Wilkin, berpunca daripada gerakan menarik dimulakan Miguel Angel Garrido Cifuentes kepada Fergus Tierney yang melepaskan rembatan padu, namun terkena palang sebelum bola lantunan disudahkan kemas oleh Wilkin.

Hanya tiga minit berselang, pasukan pelawat terus memperkukuh kedudukan apabila Cifuentes meledak gol kedua Sabah FC untuk meletakkan mereka di depan 2-1.

Namun, tuan rumah bimbingan Yusri Che Lah enggan mengalah dan kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan Eduardo Jose Sosa pada minit ke-79, bagi memastikan kedudukan terikat 2-2.

Sabah FC hampir membawa pulang tiga mata penuh apabila Ajdin Mujagic menjaringkan gol pada minit ke-83, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan berlaku faul.

Imigresen kehilangan pemain di minit-minit akhir perlawanan apabila pemain gantian Nik Akif Syahiran Nik Mat diarah keluar padang, selepas semakan VAR mengesahkan dia mengasari pemain lawan. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN